Kota Kinabalu: Ketua Pergerakan Pemuda Negeri Parti Harapan Rakyat Sabah, Jovilis Majami meminta supaya rakyat Sabah jangan sekali-kali mendengar peringatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi agar tidak terpengaruh dengan cubaan pihak pembangkang untuk 'memBrexit'kan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dari Sabah ini.

Jovilis Majami berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah cukup lama diberi mandat oleh rakyat Sabah untuk menerajui wilayah Sabah ini tetapi apa yang terjadi rakyat Sabah terus menderita dibawah pentadbiran mereka.

"Jika pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) ini rakyat Sabah masih terpengaruh dengan janji-janji pemimpin UMNO dan Barisan Nasional termasuklah TPM ini dan mereka masih mendapat mandat dalam tempoh 5 tahun lagi maka masalah-masalah yang membelengu Sabah dibawa pemerintahan mereka akan terus bertambah" katanya ketika ditemui oleh wartawan United Sabah Alliance (USA).

Jovilis juga mengulas kenyataan Ahmad Zhaid bahawa langkah rakyat Britain untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) atau lebih dikenali sebagai 'Brexit' membuatkan rakyat Britain begitu menyesal, beliau berkata bahawa itu memang sudah menjadi lumrah dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Tidak semua rakyat akan bersetuju dengan sesuatu keputusan itu namun suara majoriti yang harus didengar untuk melaksanakannya. Yang nyata ‘Brexit’ ini lebih ramai rakyat Britain yang gembira berbanding dengan yang menyesal.

"Rakyat Sabah kena ingat sekiranya kita terus membiarkan UMNO dan Barisan Nasional berada di bumi Sabah ini, harapan kita untuk melihat isu-isu yang ingin dituntut oleh rakyat Sabah tidak akan dapat diselesaikan kerana niat mereka bukannya betul-betul berjuang demi kepentingan rakyat Sabah tetapi sebaliknya cuma ingin mengambil kesempatan terhadap kekayaan wilayah kita,”kata Jovilis.

"Kita boleh lihat isu-isu seperti autonomi Sabah, pendatang tanpa izin, kemiskinan dan banyak lagi, mereka langsung tiada usaha untuk menyelesaikannya secara tuntas walaupun mereka sudah lebih 20 tahun bertapak di Sabah ini. Satu contoh yang amat jelas ialah Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengkaji pendatang tanpa izin di Sabah yang didakwa oleh rakyat tempatan diberikan kewarganegaraan secara tidak sah sehinggakan mengubah demografi masyarakat Sabah sehingga kini tidak didedahkan kepada umum walaupun laporan itu sudah lama siap," tambah beliau.

Menurut beliau lagi, jika pada PRU14 nanti rakyat Sabah menolak Barisan Nasional dan pentadbiran Sabah kembali semula kepada parti-parti tempatan Sabah, kerajaan Sabah boleh menyelesaikan masalah-masalah ini dengan menggunakan kuasa Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) seperti mana yang digariskan di dalam laporan Inter-Governmental Committee (IGC) dan juga Perjanjian Malaysia (MA63).

Menjawab satu lagi kenyataan Ahmad Zahid bahawa sangat berisiko tinggi apabila kerajaan negeri tidak selari dengan kerajaan pusat seperti yang pernah dilalui oleh Sabah sebelum ini Jovilis mengatakan bahawa rakyat Sabah tidak nampak apa-apa kebaikan sejak kerajaan negeri Sabah ini selari dengan kerajaan pusat selain daripada menjadi ‘pak angguk’ kepada kerajaan pusat sebagai contohnya pengenalan sistem percukaian seperti GST, gaji minimum yang tidak setara diantara Sabah dan Semananjung dan lain-lain lagi langsung tidak dibantah oleh kerajaan negeri sedangkan ianya menyusahkan rakyat Sabah. Beliau juga mengingatkan Ahmad Zahid bahawa Sabah masih lagi negeri yang termiskin di Malaysia meskipun sudah lebih 20 tahun kerajaan negeri ini selari dengan kerajaan pusat.

Jovilis yang juga merupakan Timbalan Pengerusi 2 Gabungan Muda Sabah (GEMA) menambah Sabah tidak akan maju, anak-anak muda tidak mempunyai masa depan dan rakyat Sabah terus terpinggir sekiranya autonomi seperti yang terdapat dalam MA63 tidak dilaksanakan kerana disitulah letaknya kuasa mentadbir dan kekayaan kita yang selama ini telah diragut oleh persekutuan.

“Yang terbaik ialah rakyat Sabah harus menyokong Parti Harapan Rakyat Sabah dan Gabungan Sabah (GS) kerana ianya memperjuangkan hak-hak Sabah dan autonomi Sabah. Sudah tiba masanya rakyat Sabah harus meninggalkan parti yang berpengkalan di Semananjung dan memilih parti tempatan Sabah bagi memastikan masa depan rakyat Sabah terbela,” Kata Jovilis.

Sumber: Gabungan Sabah
Labels:

Post a Comment

Author Name

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.