30 Julai 2017, Papar Sabah.
1. Sebelum terlibat dalam dunia politik, saya telah menjadi seorang penulis sejak di bangku sekolah dan akhirnya ketika bergelar seorang guru, saya telah menganggotai sebuah persatuan sastera tertua di Sabah sebagai ahli seumur hidup. Malah terpilih pula sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa Tertinggi. Saya telah pun menerbitkan sebuah buku kumpulan puisi pada tahun ini dan masih aktif menulis genre cerpen untuk diterbitkan sebagai sebuah kumpulan cerpen dalam masa terdekat.
2. Bidang sastera dan penulisan merupakan satu perkara yang saya minati dan tekuni. Tema yang saya olah dalam penulisan bersifat terbuka dan mencakupi pelbagai aspek kehidupan. Oleh sebab itu, dalam dunia sastera dan penulisan, saya tidak membataskan pergaulan saya dengan kelompok yang mempunyai perbezaan agama, budaya dan ideologi politik. Walaupun setelah saya terlibat dalam bidang politik, perkara ini masih saya teruskan seperti biasa kerana saya impikan masyarakat kita akan menjadi matang, bijak dan bersikap professional dalam memberikan perspektif terhadap sesuatu perkara yang tidak sepatutnya dicampuraduk semata-mata atas nama politik.
3. Namun bagi Gabungan Sabah (GS) khususnya pejuang alam maya, mereka kehilangan keupayaan untuk memberikan tafsiran berbeza dan melihat individu yang terlibat di dalam politik, tidak lagi boleh menjadi penulis atau menganggotai persatuan sastera. Mereka telah dibutakan oleh kebencian melampau dan mendidik diri mereka menjadi ekstrimis politik demi mencapai tujuan dengan menghalalkan segala cara sekalipun mereka menyedari isu yang mereka timbulkan itu merupakan isu yang tidak berasas dan sekadar memperlihatkan betapa tidak cerdiknya mereka.
4. Suatu ketika yang lalu, saya memberikan pandangan saya bahawa terdapatnya pemimpin dalam Gabungan Sabah yang MESRA BN. Apa yang saya maksudkan itu sudah tentu berkisar dalam ruang lingkup politik. Saya tidak akan sebutkan mereka mesra BN hanya kerana menghadiri rumah terbuka Kaamatan, Krismas atau Hari Raya. Saya tegaskan dengan menyebutkan secara jelas penglibatan pemimpin GS dalam satu kumpulan yang diketuai oleh pemimpin UMNO iaitu Mysabah. Pemimpin GS dan pemimpin UMNO dalam Mysabah saling mengenali antara satu sama lain. Bahkan perkara yang mereka bicangkan juga adalah perkara-perkara yang dicetuskan dalam ruang lingkup politik. Bahkan ada juga pemimpin dalam GS yang telah menemui Perdana Menteri, juga membawa bahan yang dihebohkan dalam dunia politik sekalipun mereka menegaskan ia adalah berkaitan hak Sabah.
5. Namun begitu, siapakah di antara orang Sabah yang dapat menafikan bahawa cerita HAK SABAH merupakan sebuah produk politik paling hangat ketika ini? Apakah kita benar-benar percaya ia dilakukan tanpa niat politik? Sebenarnya ia bukan lagi soal niat politik tetapi jelas ia dilakukan dalam konteks dan bahasa politik walau apa pun alasan yang diberikan. Sekurang-kurangnya, kenyataan saya bahawa kepimpinan GS ini adalah mesra BN, disokong oleh hujah dan fakta perbandingan yang logik. Berbeza dengan apa yang saya lakukan dengan menyokong persatuan sastera yang saya anggotai. Saya hanya menghadiri majlis pelancaran buku kelolaan persatuan ini yang disempurnakan oleh Ketua Menteri. Ketua Menteri tidak kenal saya apatah lagi untuk bercakap hal politik dengan saya. Pertemuan itu juga bukanlah sesuatu yang dirancang seperti pertemuan pemimpin GS dan pemimpin UMNO dalam Mysabah atau pertemuan seorang pemimpin GS dengan Perdana Menteri.
6. Ironinya, gambar- gambar saya di majlis itu telah diviralkan dengan cubaan memberikan gambaran bahawa saya juga mesra BN sedangkan mereka cukup tahu bahawa ia adalah satu majlis berkaitan sastera dan penulisan. Begitu ghairah dan jahat cara berpolitik pejuang alam maya penyokong GS ini. Apakah cara politik sebegini yang bakal kita wariskan kepada anak Sabah? Saya bimbang, dengan pembawaan politik sebegini, Sabahan akan didoktrinasikan oleh politik tanpa fakta dan bersifat emosi melulu dan ia bakal merosakkan Sabah lebih teruk daripada apa yang berlaku hari ini.
7. Jika kita sayang Sabah, kita sepatutnya bermula dengan cara berpolitik yang matang, berfakta dan berintegriti dan bukannya isu tangkap muat tanpa alur pemikiran yang jelas semata-mata kerana emosi yang meluap-luap. Apa pun, saya ucapkan tahniah kepada GS kerana telah berjaya menjadi sebahagian daripada cybertrooper BN yang paling hebat dalam sejarah. BN tidak perlu berkerja keras lagi kerana GS telah menyempurnakan impian mereka untuk merosakkan karektor kepimpinan pembangkang tulin yang benar-benar mahukan perubahan rejim melalui jalan politik yang jelas, penuh hujah berfakta dan bermaruah
.
Ingat GS ingat BN! Tolak GS Tolak BN!
Hasmin Azroy Abdullah,
Ketua Ikatan Muda PCS Nasional.
Post a Comment