Kota Kinabalu: Seorang pakar perubatan tradisional Sabah, Encik Khamsin Yahya dilaporkan berjaya menemui sejenis ubat yang dikatakan mampu menyembuhkan berbagai-bagai jenis penyakit, BE news dimaklumkan.
Kejayaan beliau menemui ubat mujarab itu menarik perhatian dunia, terutama sekali para pengkaji perubatan antarabangsa dari negara-negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Britain dan juga Jepun.
Sungguhpun masih tidak dapat dipastikan apakah jenis ubat yang dijual selama ini, syarikat gergasi perubatan antarabangsa seperti Pfizer, Novartis, GlaxoSmithKline (GSK) dan Takeda sedang berlumba-lumba untuk mendapatkan sampel ubat ini yang berpotensi besar untuk dipatenkan.
Encik Khamsin yang ditemui di sini berkata bahawa ubat beliau mampu menyembuhkan gaut, radang hati (hepatitis), radang sendi (rheumatoid arthritis), asthma, sakit jantung, lemah semangat (panic attack), jangkitan HIV dan bermacam-macam jenis kanser.
"Saya bersyukur, kerana selama ini, saya bertungkus-lumus menjual ubat ini tanpa mengenal penat dan lelah" katanya. "Ramuan ubat ini saya perolehi turun-temurun dari nenek saya, namun saya menambah sedikit jampi dan ramuan-ramuan lain yang diperturunkan melalui mimpi saya" tambahnya, ketika diminta mengulas asal-usul ubat tersebut.
Encik Khamsin percaya ubatnya mampu merawat pelbagai jenis penyakit. "Antara kegunaan yang paling mujarab adalah untuk meghilangkan angin" ulasnya. Beliau berkata angin ini boleh berpunca dari salah urat, penat bekerja, dan salah makan.
Beliau kini bercadang untuk menulis hasil kajiannya di journal terkemuka perubatan antarabangsa seperti New England Journal of Medicine (NEJM), the Lancet, atau British Medical Journal (BMJ).
Presiden Persatuan Perubatan America (AMA), Dr. Robert M. Wah ketika dihubungi BE news, berkata bahawa beliau teruja dengan penemuan Encik Khamsin itu dan berharap untuk bertemu dengan beliau suatu hari nanti.
Pihak pengurusan Queen Elizabeth Hospital (QEH), Kota Kinabalu telahpun mengeluarkan kenyataan untuk mengambil Encik Khamsin untuk bekerja dan menyumbangkan kepakarannya di hospital terbesar di negeri ini.
"Doktor-doktor sekarang adalah sangat muda dan tidak berpengalaman" tambah Encik Khamsin. "Manakala ubat ini adalah ubat tradisional turun-temurun yang terbukti berkesan" kata Encik Khamsin.
BE News
Post a Comment